09 January 2013

Memperkasakan mobiliti Sahabat

Lebih 300 ribu Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memainkan peranan yang penting dalam menentukan kesinambungan pembiayaan modal untuk perniagaan yang diceburi.
Sejajar dengan penambahbaikan dan keperluan agenda transformasi yang menjadi bidang utama keberhasilan kerajaan kini, AIM mengambil inisiatif awal menganjurkan seminar rangkaian perniagaan melalui konsep koperasi di bawah modul latihan pemantapan perniagaan yang telah diadakan pada 19 Disember 2012 di The Regency, Alor Setar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Zubir bin Harun, Ahli Lembaga AIM. Beliau menyentuh mengenai kepentingan Sahabat diberi pendedahan berkaitan manfaat perniagaan melalui konsep rantaian koperasi serta pelbagai strategi penting meliputi aspek pemasaran penjenamaan dan pembungkusan.
Justeru, penubuhan Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia pada Ogos lalu dilihat sebagai langkah bijak dan tepat pada masanya bagi memperkasakan modal insan, meningkatkan kecekapan dan mengagihkan pendapatan tahunan kepada Sahabat melalui pelbagai bidang yang diceburi seperti peruncitan, pembuatan, pembangunan hartanah, perladangan dan sebagainya.
Lebih 150 orang Sahabat yang terdiri daripada Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS), Ketua-ketua Pusat sekitar Alor Setar serta Pengurus-pengurus Cawangan AIM peringkat Wilayah Kedah telah menghadiri seminar anjuran Unit Pembangunan Usahawan (UPU) dengan kerjasama SIRIM ini. “Seminar ini juga bertujuan melihat keupayaan koperasi untuk memobilisasikan dana yang diperolehi melalui sumbangan ahli-ahli koperasi bagi mendokong kejayaan koperasi sebagai entiti pelaburan yang sah sepertimana koperasi-koperasi di PNB, LUTH, LTAT, Koperasi Felda dan Bank Rakyat sebagai contoh,” kata Dr. Zubir lagi.
Pembentangan kertas kerja telah disempurnakan oleh Encik Che Mahdi Idris, Penolong Pengarah UPU dan konsultan SIRIM, Puan Rohaizat Maarof.

No comments:

Post a Comment