12 May 2011

Cadangan Penubuhan Bank Wanita

Cadangan Penubuhan Bank Wanita
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat akan terus mencadangkan kepada kerajaan supaya
menubuhkan bank wanita bagi membantu usahawan-usahawan wanita di semua
sektor.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata walaupun kerajaan
ketika ini beranggapan penubuhan bank itu bukan keperluan mendesak,
pihaknya tidak akan berputus asa sehingga matlamat itu tercapai.

"Saya sebenarnya sudah pohon beberapa kali kepada pucuk pimpinan
(Perdana Menteri) sebelum ini, tetapi jawapan yang diberikan ialah
ketika ini kerajaan merasakan belum tiba masa untuk bank itu
diwujudkan kerana konsep perniagaan adalah konsep yang terbuka untuk
semua.

"Tetapi, oleh kerana belum diwujudkan bank untuk wanita ini, kami di
kementerian tidak akan berputus asa dalam usaha ini dan akan terus
mendesak untuk meminta supaya ia ditubuhkan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Senator Mumtaz
Md Nawi, yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang mewujudkan
bank wanita, pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.

Shahrizat berkata daripada pemerhatiannya, bank wanita perlu
ditubuhkan kerana beliau mendapati ada kaum wanita yang berniaga
ataupun ingin membuat pinjaman merasa tidak selesa untuk pergi kepada
bank-bank sedia ada yang mungkin tidak mesra wanita atau mesra
keluarga.

Beliau berkata sehingga cadangan itu menjadi kenyataan, pihaknya
berharap Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dapat memainkan peranan menjadi
bank tidak rasmi untuk wanita, terutama kepada mereka yang mahu
membuat pinjaman perniagaan.

Menjawab soalan asal Senator Ahmad Rusli Iberahim berkenaan
usaha-usaha kerajaan membantu menambah pendapatan suri rumah khususnya
ibu tunggal Shahrizat berkata, kementerian menerusi Jabatan
Pembangunan Wanita (JPW) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk
program Inkubator Kemahiran Wanita (I-KIP).

Beliau berkata program itu menawarkan peluang kepada mereka yang
berminat dengan dunia keusahawanan untuk dilatih dan dibimbing dalam
enam bidang kemahiran seperti, seni jahitan, terapi kecantikan,
masakan komersil, kraftangan, asuhan kanak-kanak dan pelancongan.

"Sejak 2008 hingga 2010, seramai 1,699 ibu tunggal dilatih di mana 132
menjadi usahawan, dan selebihnya menjalankan perniagaan dari rumah
atau berjaya mendapatkan pekerjaan berbekalkan kemahiran yang
diperolehi," katanya.

No comments:

Post a Comment