CEMERLANG sebagai badan yang memberi pembiayaan mikro kredit selama 25 tahun, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) terus komited untuk mengukuhkan perkhidmatannya dan memberi manfaat kepada ahlinya (Sahabat) apabila memperuntukkan RM4 juta bagi membuka 70 Koperasi AIM tahun ini.
Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Amihamzah Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan setiap cawangan akan mempunyai Koperasi AIM dan menjelang 2015 dijangka terdapat 133 cawangan di seluruh negara.
Katanya, objektif utama penubuhan koperasi itu adalah untuk memudahkan aktiviti Sahabat AIM dan seterusnya dividen yang diperoleh juga akan menjadi satu sumber tambahan pendapatan Sahabat.
“Sekarang terdapat 113 cawangan AIM di seluruh Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak dan kami sendiri akan menyediakan geran bernilai RM50,000 bagi setiap penubuhan koperasi manakala kementerian koperasi pula akan menambah lagi RM10,000 untuk permulaan aktiviti koperasi.
“Bagi bentuk perniagaan pula akan ditentukan sendiri oleh ahli lembaga koperasi berkenaan yang mana dilihat mampu menjana pendapatan untuk semua ahlinya dan paling penting kami mahu pendapatan Sahabat dapat dijana dari pelbagai sumber,” katanya pada sidang media di Majlis Ramah Mesra AIM bersama media di Petaling Jaya, kelmarin. Hadir sama, Pengarah Urusan AIM, Datuk Zabidah Ismail.
Amihamzah berkata, 13 peratus daripada lebih 300,000 Sahabat AIM pada masa ini sudah mencapai taraf ekonomi melebihi RM3,500 sebulan dan pihaknya yakin menjelang 2020 semuanya akan memperoleh pendapatan isi rumah pada paras yang lebih selesa.
Beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk menubuhkan Akademi Pembangunan Usahawan AIM dengan objektif utama memberi latihan dan ilmu kepada semua usahawan mikro kredit di Malaysia dan sekarang pihaknya masih dalam proses mengenal pasti lokasi yang sesuai.
“Kami mahu akademi ini nanti bukan saja untuk pembangunan serta latihan kepada Sahabat AIM saja, tetapi termasuk usahawan dari agensi lain termasuk mikro kredit dari luar negara seperti Indonesia dan Myanmar,” katanya.
Sementara itu, Zabidah berkata tahun ini AIM memperuntukkan dana pembiayaan RM1.867 bilion kepada Sahabat AIM seluruh Malaysia dan menyasarkan untuk meningkatkan 57,594 lagi Sahabat baru yang akan menyertai AIM berbanding 332,369 Sahabat setakat ini.
No comments:
Post a Comment