31 May 2012
Kaifat Perkahwinan
Islam telah menggariskan satu perkahwinan yang khusus untuk panduan orang-orang Islam dalam mendirikan rumahtangga bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dalam memilih isteri, Islam memberi kebebasan kepada kaum lelaki untuk memilih bakal isteri yang sesuai dengannya. Islam menganjurkan supaya memilih seorang perempuan yang salih dari keturunan yang ramai anak, berakhlak mulia, dan cantik.
Sabda Rasullah SAW
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi S.A.W telah bersabda: " Dinikahi wanita itu kerana empat sifat, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Pilihlah yang beragama , bahagialah engkau."
Seseorang perempuan boleh membuat pilihan sama ada menerima atau menolak suatu perkahwinan sekiranya mempunyai sebab-sebab yang munasabah. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini ialah:
1.Sebab keturunan
• Ibu,nenek,ibu sebelah bapa, dan seterusnya(ke atas)
• Anak, (cucu) cicit, dan seterusnya ( ke bawah)
• Saudara perempuan seibu sebapa
• Saudara perempuan seibu
• Saudara perempuan dari sebelah bapa ( anak saudara)
• Saudara perempuan dari sebelah ibu ( emak saudara)
• Anak perempuan daripada saudara perempuan, dan seterusnya (anak saudara cucu)
• Anak perempuan daripada saudara lelaki dan seterusnya (anak saudara, cucu)
2.Sebab susuan
• Ibu susuan
• Saudara perempuan susuan
• Adik beradik ibu susuan
• Anak saudara perempuan susuan
• Ibu mentua ibu susuan
3.Sebab perkahwinan
• Ibu mentua
• Ibu tiri
• Anak tiri apabila sudah bercampur dengan ibunya
• Saudara perempuan isteri
• Menantu
• Isteri bapa
Haram hukumnya menikahi dua adik-beradik perempuan atau seorang perempuan dimadukan dengan saudara perempuan bapanya, atau anak perempuan saudaranya.
Syarat-syarat bakal isteri:
• Islam
• Perempuan , bukan khunsa atau pondan
• Bukan isteri orang
• Tidak dalam idah
• Bukan muhrim
Syarat-syarat bakal suami:
• Islam
• Lelaki
• Tidak beristeri empat
• Bukan muhrim
Islam mengharuskan seorang lelaki melihat bakal isterinya supaya tidak menimbulkan perkara-perkara yang tidak puas hati di kemudian hari. Seseorang lelaki diharuskan melihat muka dan kedua-dua tapak tangan bakal isterinya.
29 May 2012
Rahsia diwajibkan solat
SOLAT adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa.
Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman. Orang yang beriman mesti mendirikan solat. "Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31)
Dalam al-Quran, dilaporkan ada lebih 25 tempat ayat "aqama" yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau solat diulang dan disebut dalam al-Quran.
Antaranya, firman yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.
"Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (an-Nisa':103)
Setiap individu Muslim dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun.
Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya.
1. Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya.
"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)
2. Solat adalah tanda kesyukuran. Muslim atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.
3. Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud:
"Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)
4. Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran.
"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)
5. Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!
"Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun: 1-2)
6. Solat dapat mententeramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria.
Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya.
"Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)
Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati.
Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)