16 December 2012

Petua Tanam Ubi Kayu Boleh Kaya

Ini Petua lama, tetapi HEBAT.
Kepada anda yang nak menanam Ubi Kayu supaya isinya lebih banyak dan berkualiti tinggi, gunakan petua ini, tak payah guna modal sesen pun, cuma guna sedikit tenaga je, hasilnya 2 -3 kali ganda anda akan perolehi.
Seringkasnya. Inilah petuanya.
Ambilkan batang Ubi Kayu potong-potong simpan ditempat sejuk 1 -2 hari sehingga getahnya hilang. Langkah kedua belah dua atau empat bahagian bawah batang Ubi yang telah dipotong-potong untuk dijadikan benih tanaman tadi. Bukakan belahan tadi, sekang dengan sedikit batu kecil ke atau apa-apa je bahan supaya kelihatan terkangkang sedikit bahagian belahan tadi.
Langkah ketiga tanamlah batang Ubi Kayu tadi diatas batas atau lubang tanaman yang telah digembur tanahnya.
Penjagaannya - jangan biarkan batang Ubi kayu yang hidup menjadi lebih aripada 1 batang. Jika lebih cantas atau buang. biarkan hanya sebatang induk pokok Ubi kayu yang membesar hidup.
Selepas 8 bulan anda cabut Ubi Kayu tadi dan lihat lah hasilnya. Pasti isi Ubi lebih banyak, besar dan padat.
Mengamalkan petua ni tak susah pun, hasilnya lebih.

15 penuntut IPTA sertai program Amanah Ikhtiar

KUALA LIPIS 10 Julai - Seramai 15 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negeri ini menyertai Program Anak Angkat Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Lipis, di sini baru-baru ini.
Mereka merupakan para penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang dan Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), ditempatkan bersama 15 keluarga angkat yang juga merupakan peserta Sahabat AIM Lipis.
Penempatan penuntut berkenaan dalam kalangan ibu tunggal yang juga pengusaha di bawah Program Komuniti Usahawan Wanita AIM diadakan selama sebulan bertujuan memberi pendedahan kepada mereka tentang cabaran golongan itu mengharungi kehidupan.
Mereka mengikut keluarga angkat masing-masing yang tinggal di Kampung Padang Tengku, Kampung Mela, Kampung Tanjong Buloh, Kampung Kuala Medang, Kampung Bukit Betong, Kampung Benta dan Kampung Merapoh.
Satu majlis penyerahan penuntut berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Amihamzah Ahmad di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah bandar ini.
Hadir sama Pengarah Pusat Keusahawanan UMP, Dr. Omar Jamaludin; Pengarah Pinjaman dan Operasi AIM, Nor Fazidah Kadri; Penolong Pengarah Unit Pembangunan Usahawan AIM, Che Mahdi Idris dan Pengurus AIM Pahang, Roslan Pakon.
Menurut Omar, program kolaborasi antara IPTA dengan AIM bertujuan memberi peluang penuntut menjalani latihan di bidang keusahawanan berasaskan pengajian mereka dan boleh berdikari selepas menamatkan pengajian nanti.
"Program itu membolehkan penuntut mendalami susur hidup, kesusahan dan kepayahan yang pernah dilalui oleh Sahabat AIM yang terbabit dengan usahawan sehingga meniti tangga kejayaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Jelasnya, kegiatan itu merupakan satu inisiatif penting dalam memperkasa budaya keusahawanan, sekali gus membuka mata dan minda penuntut yang terlibat untuk menceburi bidang perniagaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Amihamzah Ahmad berkata, program itu antara platform mencanai pengetahuan dan pengalaman penuntut bersama Sahabat AIM berasaskan penggabungan konsep teori serta praktikal.
"Mereka berpeluang mencurahkan idea hasil teori dan pembelajaran yang diperoleh dalam bidang pengurusan, kewangan, pemasaran serta keusahawanan kepada ibu angkat masing-masing," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, Sahabat AIM yang terbabit dengan usahawan boleh memanfaatkan pengetahuan yang dimiliki penuntut itu untuk memantapkan lagi perniagaan masing-masing.

Wanita lebih mampu bayar balik pinjaman

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) ditubuhkan pada 17 September 1987 secara bersama oleh Universiti Sains Malaysia (USM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), kerajaan Selangor serta disokong kuat Pusat Pembangunan Asia Pasifik.
Agensi ditubuhkan melalui Suratcara Perjanjian Amanah Ikhtiar Malaysia serta didaftarkan mengikut Akta Amanah 1952 (pindaan 1981) (Akta 258) itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan, yang secara langsung membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia dengan cara pengeluaran Pembiayaan Ikhtiar.
Pembiayaan khusus untuk golongan miskin di kawasan luar bandar itu membantu mereka melakukan sebarang kegiatan perniagaan bagi menambah pendapatan sampingan.
Penubuhan ini juga bertitik tolak daripada idea Pensyarah Ekonomi Universiti Chittagong di Bangladesh, Prof Muhamad Yunus yang memperkenalkan kredit mikro dalam membasmi kemiskinan di negara itu pada 1976 yang kemudian berkembang ke seluruh dunia.
Muhamad Yunus dalam kajiannya mendapati, pembabitan golongan miskin dengan dunia perbankan sangat kurang. Ini berikutan mereka kekurangan modal dan sukar meningkatkan taraf hidup jika hanya bergantung kepada pendapatan harian.
Beliau kemudian mengetengahkan idea untuk memberi sumbangan berbentuk modal kepada golongan itu bagi memberi mereka peluang menambah pendapatan.
Idea ini diambil Pusat Penyelidikan Dasar (PPD) USM ketika itu untuk mendapatkan maklumat berkaitan serta menguji Pendekatan Bank Grameen (PBG) dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar yang ketika itu begitu tinggi dengan cara memberi hak kredit mikro kepada golongan miskin.
Projek perintis AIM yang dikenali sebagai Projek Ikhtiar ialah di kawasan barat laut Selangor merangkumi Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam dan Sungai Besar pada 1987.
Keputusannya dua tahun kemudian mendapati kadar bayaran balik di kalangan peminjam atau Sahabat AIM wanita lebih tinggi berbanding lelaki. Sebanyak 92 peratus Sahabat AIM wanita berjaya membayar balik pinjaman itu berbanding 78 peratus lelaki.
Faktor ini membuatkan AIM membuat keputusan memberi fokus kepada wanita sebagai syarat menjadi Sahabat AIM dan menyertai Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) atau pinjaman modal untuk perniagaan.

AIM agih RM7.5 bilion untuk 330,000 usahawan

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah mengagihkan pembiayaan mikro sebanyak RM7.5 bilion kepada 330,000 usahawan tempatan sejak agensi itu ditubuhkan pada 1987.
Pengarah Urusannya, Datuk Zabidah Ismail berkata, pengagihan pembiayaan itu adalah kepada go longan miskin yang mempunyai pendapatan bulanan di bawah RM2,300.
Katanya, hampir keseluruhan pembiayaan yang dikeluarkan adalah kepada penduduk luar bandar dan AIM merancang untuk membuka bantuan pembiayaan kepada penduduk bandar miskin selepas ini.
"Sebanyak 58 peratus daripada pembiayaan yang diagihkan adalah untuk usahawan yang menjalankan perniagaan peruncitan, manakala bakinya adalah dalam pelbagai sektor lain termasuk perkhidmatan, perladangan, perikanan dan lain-lain lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) di antara AIM dengan Wilayah Autonomi Islam Mindanao di sini baru-baru ini.
Pinjaman maksimum untuk peminjam pertama kali AIM adalah sebanyak RM3,000 dan para pe minjam yang mempunyai rekod pinjaman yang baik boleh membuat pinjaman sehingga RM50,000.
Tempoh pembiayaan adalah se lama setahun hingga lima tahun.
AIM hanya mengenakan caj pengurusan sebanyak 10 peratus daripada jumlah pinjaman usahawan setahun.
Tambah Zabidah, kadar pembayaran balik pinjaman pembiayaan mikro AIM setakat ini amat tinggi iaitu 99.6 peratus, manakala kadar hutang tidak berbayar (NPL) adalah 0.4 peratus.
Katanya, selain mempunyai pejabat rangkaian yang luas iaitu 123 cawangan di seluruh negara, AIM turut menggunakan mekanisme yang betul bagi mendapatkan balik bayaran pinjaman.
"Faktor lain seperti majoriti peminjam wanita boleh diambil kira sebagai penyumbang rekod pembayaran yang baik kepada AIM selama ini," ujarnya.